Mengapakah haid dikenali sebagai ‘darah kotor’?
Haid sebenarnya bukan penyakit. Ia adalah satu proses normal yang menunjukkan wanita itu mempunyai kesihatan yang baik dan yang lebih penting lagi ia subur serta boleh hamil. Memang kita menganggap haid sebagai ‘darah kotor’.
Apabila darah haid ini mengalir keluar dari rahim ia membawa bersama sel dan tisu dari selaput “endometrium”. Ketika ia melalui saluran faraj ia membawa bersama kuman yang terdapat dalam saluran faraj. Darah kotor adalah campuran darah, tisu endometrium yang telah berkecai dan kuman-kuman.
Bagi wanita yang tidak datang haid, mungkinkah ia akan bertimbun dalam rahim dan menyebabkan keracunan?
Perkara ini tidak benar kerana keluaran haid dikawal oleh system hormon yang rumit. Jika ia tidak keluar ia mungkin disebabkan oleh perimbangan hormon yang mungkin terganggu akibat dari proses kehamilan, penyusuan bayi, pengambilan pil hormon, tekanan mental dan emosi atau penyakit pada kilang pituitary, rahim atau ovary.
Tetapi keadaan tersebut tidak menyebabkan timbunan darah kotor dalam badan. Darah hanya menjadi kotor apabila ia keluar sebagai darah haid. Apabila suatu penyakit atau keadaan luar biasa berlaku, aliran darah seolah-olah memintasi kawasan endometrium. Oleh itu tiada darah kotor dibentuk.
Berapa lamakah haid seseorang wanita itu keluar?
Pada kebiasaannya haid keluar selama tiga hingga tujuh hari. Ada juga setengah wanita haidnya hanya sehari sehaja, manakala ada setengah wanita yang mengalami keluaran haid berpanjangan dan berterusan selama 15 hari.
Setengah wanita mengalami keluaran lendir bercampur sedikit darah untuk beberapa hari sebelum keluar haid (Premenstrual staining) manakala ada setengah pula yang mengalami darah haid ‘berekor-ekor’ (Post-menstrual staining). Kedua keadaan tersebut munkin menandakan suatu keadaan hormon yang tidak seimbang atau mungkin terdapat penyakit dalam rahim.
Perkara yang penting diketahui oleh setiap wanita ialah untuk menentukan apakah yang menjadi kebiasaannya. Jika jangka waktu haid menjadi lebih pendek atau lebih panjang dari kebiasaannya, ini adalah dianggap sebagai satu keadaan luar biasa atau penyakit. Katakan seseorang wanita itu keluar haid selama tujuh hari, tetapi secara tiba-tiba haidnya keluar selama 10 hari. Maka tiga hari yang terakhir ini bukanlah darah haid, tetapi darah penyakit.
Ada yang berpendapat keluaran darah haid selama 15 hari masih dianggap normal. Ini penting diketahui kerana seseorang wanita yang keluar darah, selain daripada haid, wajib bersembahyang dan menunaikan ibadat.
Bagi wanita yang menggunakan kaedah pencegah hamil, mungkin terdapat sedikit perubahan dalam pusingan haidnya. Wanita yang menggunakan pil jangka waktu haidnya menjadi pendek dan aliran darah haid sangat berkurangan. Bagi mereka yang menggunakan alat dalam rahim IUD pula, haidnya menjadi lebih panjang dan aliran haidnya lebih banyak daripada biasa.
Berapa banyak darah pula yang keluar yang dikatakan normal?
Ini berbeza antara seseorang wanita dengan yang lain. Pada kebiasaannya pada hari pertama haid tidak keluar begitu banyak, haid bertambah pada hari kedua dan ketiga. Pada hari keempat mula berkurangan dan pada hari kelima hampir kering, pada hari keenam darah kering langsung.
Keluaran lendir bercampur sedikit darah berwarna coklat mungkin berlarutan selama beberapa hari. Haid dianggap berhenti jika tidak ada lagi kesan darah merah yang keluar dari rahim. Purata darah yang keluar dalam jangka masa ini ialah dua hingga tiga auns (100mls). Penggunaan tuala yang tidak melebihi satu kotak boleh dianggap sebagai normal.
Apakah jenis-jenis gangguan haid?
Seperti keadaan lain dalam tubuh manusia, haid juga mengalami beberapa masalah;
1. Berbagai jenis gangguan pusingan haid.
2. Banyaknya darah haid yang keluar.
3. Jangka waktu haid yang berpanjangan.
4. Pendarahan yang tidak tentu masa , seperti lepas persetubuhan.
5. Kesakitan sebelum, semasa atau selepas haid.
Gangguan haid berlaku kerana berbagai-bagai punca seperti tekanan jiwa dan emosi, keadaan hormon yang tidak seimbang, kehamilan, penyusuan, kegunaan hormon, penyakit dalam kelenjar pituitary atau ovary atau ketumbuhan seperti barah dalam rahim atau pangkal rahim.
Lambat Keluar Haid !
Kenapakah kelewatan haid dikalangan gadis gadis
Biasanya seseorang gadis akan mengalami haid dalam umor 12 tahun sehingga usia gadis itu 16 tahun. Ini masih dianggap normal. Jika usianya 16 tahun dan masih belum datang haid, ia perlu mendapat perhatian daripada doktor. Kegagalan turun haid ini mungkin berpunca daripada fungsi ovari atau kilang pituitary yang tidak normal. Kelewatan akil baligh mungkin disebabkan oleh kecacatan pada faraj atau perkakas peranakan sejak lahir. Kadangkala berlaku dimana selaput dara menutupi keseluruhan lubang faraj (imperforate hymen). Dalam kaedaan ini gadis tersebut mungkin mengalami sakit perut setiap bulan tetapi haid tidak keluar.
Faktor lain yang boleh mempengaruhi keadaan ini ialah taraf kesihatan yang kurang baik dan masalah tekanan jiwa dan emosi yang teruk.
Apakah yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah?
Langkah pertama ialah mengenalpasti punca kelewatan haid. Tanda-tanda seperti pertumbuhan buah dada, dan rambut di kemaluan dan ketiak menunjukan tanda pengeluaran oestrogen. Pemeriksaan tubuh dan perkakas peranakan adalah penting untuk mengesan kecacatan semula jadi, ujian ultrasound pada perut untuk mengesan ada atau tidak rahim dan ovari. Ujian darah untuk menyukat paras hormon adalah penting untuk mengenal pasti punca masalah.
Rawatan bergantung kepada punca masalah. Pembedahan kecil perlu dilakukan untuk membuka selaput dara jika ia tertutup. Jika faraj tidak wujud, pembedahan untuk membentuk ‘artificial vagina’. Rawatan hormon diberikan jika puncanya ialah kecacatan pada kilang pituitary atau ovary.
Haid tidak teratur !
Apakah yang dimaksudkan pusingan haid yang tidak teratur?
Pusingan haid yang tidak teratur, ialah pusingan yang kurang daripada 25 hari atau lebih daripada 35 hari. Ini dianggap tidak teratur, ada setengah wanita haidnya datang dua atau tiga bulan sekali. Keadaan ini sering berlaku dikalangan anak anak gadis yang baru masuk ke alam remaja atau wanita yang hampir putus haid. Keadaan ini bukanlah satu penyakit tetapi hanya disebabkan oleh gangguan hormon walaupun wanita yang mengalami masalah ini adalah kurang subur kerana ia kurang mengeluarkan benih.
Kegemukkan (obesity) merupakan punca penting yang menyebabkan pusingan haid menjadi terlambat atau jarak yang berpanjangan , mungkin jarak 6 – 9 bulan atau lebih. Keadaan ini sering dikaitkan dengan ketidaksuburan. Ada dikalangan mereka yang tumbuh rambut pada kaki atau misai. Apabila dilakukan vaginal ultrasound kedua ovari mereka didapati bengkak (Polycystic ovary).
Bagi seseorang yang perjalanan haidnya tetap dan teratur, gangguan pusingan haidnya bermakna sesuatu perkara sedang berlaku. Salah satu puncanya ialah kehamilan. Apabila kehamilan terjadi haid dengan tersendirinya akan berhenti. Wanita yang menyusukan anak juga mendapati perjalanan haidnya terganggu. Ketika penyusuan bayi, hormon susu (Prolactin) meningkat dalam aliran darah ibu.
Peningkatan paras hormon susu (prolactin) juga boleh disebabkan oleh ketumbuhan dalam kelenjar pituitary menyebabkan haid tidak datang atau datang sekali-sekala sahaja. Wanita demikian juga sering kurang subur. Gangguan hormon mungkin juga boleh berpunca dari ketumbuhan dalam kelenjar ovari.
Ketegangan rohani atau tekanan jasmani seperti kesedihan oleh sebab kematian ibu bapa atau yang lainnya, boleh juga melambatkan kedatangan haid.
Haid Berlebihan dan berpanjangan !
Beberapa punca boleh menyebakan keadaan demikian dan diantaranya:
1. Tumbuhan bukan kanser. Wanita yang mengalami keluaran darah haid yang berlebihan atau berpanjangan daripada biasa, menandakan sesuatu penyakit khususnya jika keluaran darah haid yang banyak disertai dengan senggugut.Gangguan haid seperti ini jika melibatkan wanita dalam usia 30 tahun hingga 50 tahun keatas, mungkin menandakan sesuatu penyakit tumbuhan bukan kanser pada pangkal rahim seperti ‘cervical polyp’ atau dalam rahim saperti ‘fibroid’ atau ‘Adenomyosis’.
2. Kanser Pangkal Rahim. Tetapi apa yang lebih menakutkan lagi ialah tumbuhan kanser rahim atau pangkal rahim.
3. Penggunaan alat perancang keluarga. Wanita yang menggunakan alat dalam rahim (IUD) juga boleh mengalami masalah pendarahan yang berpanjangan dan berlebihan. Mereka yang menggunakan kaedah suntikan atau ‘implant’ hormon sebagai cara mencegah kehamilan kadang kala mengalami maslah perdarahan sedikit demi sedikit dan berpanjangan pula.
4. Kehamilan luarbiasa. Keadaan ini mungkin juga menandakan kandungan yang terancam nak gugur (Threatened abortion), keguguran, kandungan anggur (molar pregnancy), kehamilan diluar rahim.
Perdarahan Luarbiasa!
Berbagai bentuk perdarahan yang luarbiasa boleh berlaku, diantaranya ialah ;
1. Pendarahan boleh berlaku pada pertengahan pusingan haid (intermenstrual bleeding), sebelum haid (premenstrual staining) atau selepas haid (postmenstrual staining) dan ini mungkin sedikit sahaja dan tidak memerlukan tuala wanita. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh masalah ketidak-seimbangan hormon atau mungkin juga disebabkan oleh tekanan jiwa atau emosi. Wanita yang mengamalkan kaedah cegah hamil yang mengandungi hormon seperti pil perancang boleh mengalami masalah seperti ini. Begitu juga dengan penggunaan ubat hormon untuk rawatan penyakit pada anggota peranakan. Ia juga mungkin menandakan sesuatu ketumbuhan atau jangkitan kuman pada kemaluan dan anggota peranakan. Setiap wanita yang mengalami pendarahan yang luar biasa dan tidak tentu masa perlu mendapatkan nasihat dan pemeriksaan dari doktor.
2. Perdarahan selepas persetubuhan. Ini adalah satu tanda yang merbahaya kerana ia mungkin menandakan penyakit kanser pangkal rahim khususnya jika ia berlaku pada wanita dalam lingkungan umur 30 puluhan dan telah berkahwin dan telah mendapat anak. Pendarahan selepas persetubuhan juga mungkin disebabkan oleh penyakit lain yang bukan kanser seperti luka pada pangkal rahim (cervical erosion), ketumbuhan bukan kanser atau jangkitan kuman. Pemeriksaan daripada doktor khususnya ujian ‘pap smear’ adalah sangat penting.
3. Perdarahan lepas putus haid. Wanita yang telah putus haid dan mengalami pendarahan perlulah berhati-hati kerana ia mungkin menandakan sesuatu penyakit yang merbahaya seperti kanser dalam rahim. Tidak semua pendarahan seperti ini disebabkan oleh kanser. Pendarahan ini mungkin disebabkan oleh suatu keadaan dalam faraj yang kekeringan iaitu “atrophic vaginitis” iaitu satu keadaan yang disebabkan oleh kekurangan hormon oestrogen. Ia tidak merbahaya dan boleh dirawat dengan ubat hormon oestrogen