Artikel petikan dari: petuabahagia.net
.
Gila meroyan
MENGIKUT orang tua-tua dulu, ketika dalam pantang, wanita tidak dibenarkan melakukan sebarang kerja. Larangan ini ada rasionalnya kerana ia sebenarnya memberi peluang wanita mendapat rehat secukupnya selepas melahirkan anak.
Kehamilan adalah khabar gembira, tetapi mungkin ramai tidak tahu atau tidak sedar ia sebenarnya memberi tekanan fizikal dan mental kepada wanita yang mengalami masalah loya dan muntah, terutama jika ia tidak dirancang dan bukan kehamilan yang diharapkan.
Perkara ini boleh menyebabkan sesetengah wanita mengalami masalah tekanan, kesedihan melampau dan kemurungan selepas melahirkan anak.
Dalam keadaan tertentu, gangguan fikiran dan emosi dihadapi menyebabkan sesetengah ibu tidak dibenarkan menjaga bayi mereka.
Bagi masyarakat kita, ia dipanggil meroyan atau kemurungan postpartum yang berlaku selepas melahirkan anak.
Menurut perunding psikiatri, Dr Nor Hamidah Mohd Salleh, walaupun zaman sudah berubah, masalah ini tetap berlaku kepada semua bangsa.
Prevalens kemurungan postpartum adalah satu atau dua kes bagi 1,000 kelahiran. Dalam budaya kita, wanita dalam pantang diberi perhatian dan layanan istimewa daripada suami dan keluarga.
Ini adalah budaya yang baik kerana ia boleh mengurangkan risiko wanita mengalami kemurungan selepas bersalin.
Kemurungan postpartum atau meroyan juga boleh berlaku apabila wanita mengalami keguguran, bayi meninggal dunia ketika dilahirkan atau bayi dijadikan anak angkat.
Ia adalah masalah yang serius dan jika tidak dirawat boleh menyebabkan ibu hilang pertimbangan diri.
Kenapa ia hanya berlaku pada sesetengah orang? Kata Dr Nor Hamidah, ia juga dipengaruhi daya ketahanan mental seseorang. Bagi yang ‘tahan lasak’ dan reda dengan takdir serta menganggap setiap kehamilan (walaupun tidak dirancang) sebagai rezeki, risiko mengalami masalah ini jauh lebih rendah.
Banyak punca boleh menyebabkan masalah ini seperti:
- Pernah mengalami kemurungan, sama ada pada diri sendiri atau ahli keluarga (termasuk skizofrenia).
- Perubahan hormon yang banyak (perubahan hormon mendadak boleh merangsang kemurungan).
- Pertambahan tanggungjawab.
- Tekanan.
- Kurang sokongan keluarga.
- Gangguan psiko sosial seperti masalah perkahwinan atau pergaduhan.
- Tidak cukup tidur kerana terpaksa bangun malam untuk menyusukan anak.
- Melahirkan anak yang tidak dikehendaki.
- Kekecewaan akibat terlalu inginkan anak lelaki, tetapi dianugerahkan anak perempuan (atau sebaliknya).
Bagaimana hendak mengenali jika isteri atau ahli keluarga mengalami masalah ini? Antara simptom meroyan ialah:
- Terlalu lesu.
- Hilang kegembiraan untuk menjalani hidup.
- Tidak boleh tidur malam (insomnia).
- Sedih keterlaluan
- Menangis tanpa sebab.
- Resah gelisah
- Berasa diri tidak berharga
- Sentiasa berasa bersalah
- Emosi mudah terganggu
- Hilang selera
- Tidak boleh menumpukan perhatian.
Bagi kes lebih serius yang dipanggil postpartum psikosis, wanita mungkin:
- Hilang pertimbangan
- Berasa benci kepada anak
- Mengalami delusi (percaya kepada perkara yang tidak benar seperti menganggap diri sebagai orang terkenal)
- Mengalami halusinasi (mendengar suara ghaib)
- Terlintas mahu membunuh diri
“Kemurungan postpartum biasanya berlaku selepas beberapa hari melahirkan anak dan ia berlanjutan sehingga melebihi dua minggu. Wanita yang mempunyai sejarah kemurungan berisiko tinggi untuk mengalami masalah ini.
“Biasanya ia berlaku pada wanita yang pernah mengalami masalah kemurungan. Jika seseorang wanita mengalami kemurungan postpartum pada kehamilan pertama, dia berisiko tinggi mengalami masalah sama pada kehamilan seterusnya dengan kebarangkalian sebanyak 25 peratus.
“Bagi kes begini, ia dikelaskan sebagai kehamilan berisiko tinggi dan keadaan mereka dipantau sepanjang kehamilan dan selepas melahirkan anak. Bagaimanapun, jangan keliru dengan kesedihan selepas bersalin atau dipanggil ‘baby blues’. Si ibu akan berasa sedih tanpa sebarang sebab, tetapi masalah ini tidak lama dan hilang selepas lima atau tujuh hari,” katanya.
Hampir 50 peratus wanita mengalami masalah ‘baby blues’. Ia masalah biasa dan tidak perlu dirisaukan. Ada yang mengalaminya pada kelahiran pertama saja. Antara gejalanya ialah rasa tertekan, sedikit murung, sedih, mudah menangis, berasa terlalu terharu tanpa sebab dan emosi cepat berubah.
Semua gejala ini timbul akibat perubahan hormon yang banyak selepas bersalin dan akan hilang beransur-ansur apabila paras hormon kembali normal.
Bagaimanapun jika kemurungan ini berlanjutan melebihi dua minggu, suami atau ahli keluarga disaran segera membawa isteri mendapatkan rawatan.
“Dalam keadaan seperti ini, sokongan ahli keluarga, terutama suami, sangat penting. Suami perlu beri kerjasama menjaga anak, seperti bangun malam atau membantu menukar lampin, supaya isteri boleh mendapat tidur yang cukup.
“Kurang sokongan daripada suami dan ahli keluarga boleh menyebabkan wanita mengalami kemurungan. Apabila ini berlaku dan tidak dibantu segera, masalah jadi lebih berat kerana pesakit tidak dapat mengawal perasaan dan dibelenggu pelbagai perkara yang menekan fikiran,” katanya.
Kemurungan ini juga membuatkan sesetengah ibu tidak dapat menyusukan bayi kerana ada perasaan benci atau menganggap anak mereka cacat, walaupun hakikatnya ia dilahirkan sempurna atau melihat si kecil itu bukan anak sendiri.
Dr Nor Hamidah berkata, kehamilan yang tidak dirancang atau tidak dikehendaki juga boleh menjadikan wanita tertekan dan murung selepas bersalin.
Kajian menunjukkan hampir 70 peratus kehamilan yang berlaku adalah tidak dirancang dan ini meningkatkan risiko untuk mengalami kemurungan.
Bagaimanapun, budaya masyarakat kita tanpa mengira bangsa menganggap setiap anak sebagai anugerah dan sikap ini membantu wanita terhindar daripada masalah kemurungan postpartum. Ini juga sebabnya setiap pasangan disaran merancang keluarga — bukan sekadar memberi peluang anak membesar dengan baik, tetapi membolehkan isteri mendapat rehat secukupnya.
Wanita yang pernah menghadapi masalah skizofrenia juga berisiko tinggi mengalami kemurungan postpartum. Bagi kes sebegini, pesakit disaran supaya sentiasa mengambil ubat.
Bagaimanapun, pengambilan ubat dihentikan pada trimester pertama untuk mengelak kesan sampingan kepada bayi.
Rawatan
Menurut Dr Nor Hamidah, jenis rawatan tertakluk kepada keadaan setiap pesakit. Namun secara purata pesakit perlu menjalani rawatan dan mengambil ubat antara enam bulan hingga dua tahun. Pesakit akan diberi ubat anti kemurungan atau antipsikotik — tertakluk kepada masalah setiap individu.
Selain itu, sokongan suami boleh menjadi penawar. Justeru, beliau menyarankan setiap pasangan membuat persediaan mental dan fizikal sebelum merancang menimang cahaya mata.
Menjarakkan kehamilan sekurang-kurangnya dua tahun juga amalan baik untuk memberikan badan wanita pulih secukupnya selepas bersalin kali pertama.
“Suami harus bersedia memikul tanggungjawab. Turunlah ke dapur menyediakan makanan untuk isteri. Dalam keadaan hidup sekarang, tidak ramai ibu boleh datang menemankan anak mereka sepanjang tempoh berpantang. Sebagai persediaan, belajar ilmu keibubapaan.
“Suami juga perlu faham perubahan yang berlaku pada isteri. Jika berkemampuan, dapatkan pembantu untuk menjaga anak supaya isteri boleh berehat dan menenangkan fikiran. Mempelajari kaedah menangani tekanan juga boleh membantu masalah ini,” katanya