Posted on

Loya, Muntah Ketika Hamil

Loya, muntah ketika hamil hanya sementara

Soalan:

SAYA hamil anak sulung dengan usia kandungan mencecah enam minggu. Saya mengalami alahan yang teruk, loya dan muntah setiap pagi dan langsung tidak berselera menjamah makanan. Saya juga tidak mengambil apa-apa ubat atau vitamin seperti asid folik hingga kini.

Apa yang membimbangkan saya, pada minggu-minggu pertama dulu, ada darah keluar dari faraj dengan jumlah yang kecil tapi berulang kali. Selain itu saya sering berasa sakit di sebelah kanan perut. Kesakitan yang sama akan saya rasai juga ketika bersama suami.

Apa sebenarnya yang berlaku?

FAZIHAN,
Melalui e-mel

Sumber: Berita Harian, Ruangan Tanya Doktor

Jawapan:

MASALAH pertama puan ialah loya dan muntah ketika mengandung. Puan harus sedar, banyak pertukaran akan berlaku kepada badan kita apabila sudah mengandung.

Bolehkah puan bayangkan mana-mana keadaan lain di mana ada sesuatu benda yang sedang hidup di dalam badan kita – memerlukan unsur-unsur dari kita untuk ia hidup dan terus berkembang?

Oleh itu, memang banyak pertukaran yang akan berlaku untuk kita membiasakan diri dengan insan yang menumpang di dalam badan kita untuk seketika itu.

Loya dan muntah memang sering berlaku, tetapi ia sementara saja, biasanya rasa loya dan muntah ini akan mula reda selepas tiga bulan.

Ia disebabkan oleh sejenis hormon ‘human chorionic gonadotrophin’ yang sangat penting untuk memastikan perjalanan fungsi permulaan mengandung.

Hormon ini naik ke paras yang maksimum di dalam tiga bulan ini dan surut selepas itu.

Kemudian, hormon lain yang dikeluarkan oleh uri akan menguruskan pembesaran bayi seterusnya dan pertukaran lain yang diperlukan.

Buat masa ini, makanlah apa yang boleh dan digalakkan makan sedikit-sedikit, tetapi lebih kerap, supaya perut tidak kosong.

Kalau tak boleh makan nasi, cuba bubur, sup atau makanan yang kurang berminyak. Minyak boleh menyebabkan rasa mual dan senang muntah.

Jikalau muntah terlalu kerap sehingga tidak dapat menahan apa yang diminum atau makan, puan perlu mendapat bantuan untuk mengurangkan rasa mual dengan memakan ubat, atau diberi cecair melalui salur darah. Ini perlu untuk memastikan kandungan air dalam badan mencukupi supaya tidak memudaratkan.

Dari kajian, vitamin yang perlu diambil semasa mengandung ialah asid folik. Ia telah didapati mengurangkan kejadian masalah kecacatan saraf tunjang dan otak.

Vitamin lain tidak menunjukkan apa-apa faedah yang lebih sama ada kepada pembentukan bayi atau tumbesarannya, jika diambil atau tidak diambil.

Jadi, kalau puan dapat makan secara seimbang, nutrisi dari pemakanan puan sudah mencukupi untuk menampung puan dan bayi. Bagaimanapun, jika diambil, ia mungkin menolong atasi kekurangan zat-zat mineral yang tiada dalam pemakanan kita.

Masalah kedua berkaitan perdarahan dan sakit. Demam, sakit, bengkak adalah contoh gejala-gejala yang terjadi bila ada sesuatu yang tidak kena dalam badan dan ia tidak boleh diabaikan.

Setiap masalah perlu diteliti untuk mengetahui apa sebabnya untuk mengelak dari terjadi keadaan yang lebih teruk.

Ada beberapa masalah perubatan yang boleh memberi sakit yang puan ceritakan. Ia boleh disebabkan oleh masalah seperti apendiks yang bengkak, masalah usus, atau ia mungkin berkaitan dengan kandungan itu sendiri.

Kandungan yang normal tidak akan menyebabkan perdarahan atau sakit. Masalah yang paling merisaukan di dalam kandungan peringkat awal ialah terjadinya kandungan di luar rahim.

Jika dibiarkan ia akan menyebabkan perdarahan di dalam badan dan membahayakan diri. Puan mesti berjumpa dengan doktor untuk menjalani pemeriksaan dengan segera.